Friday 25 November 2011

Karangan Jenis Syarahan






Soalan :
Kamu telah mewakili sekolah dalam suatu pertandingan syarahan. Tajuk syarahan ialah  ‘Kepentingan Membaca di kalangan Pelajar’. Tuliskan syarahan kamu selengkapnya.

                Yang Mulia Tuan pengerusi Majlis, Tuan Guru Besar, guru-guru dan rakan sekalian. Pada hari yang berbahagia ini, saya ingin menyampaikan sebuah syarahan  yang bertajuk  ‘Kepentingan Membaca di kalangan Pelajar’.
Hadirin yang dimuliakan,
            Membaca merupakan jambatan ilmu. Berbagai-bagai maklumat dapat diperoleh dengan membaca.  Orang yang malas membaca akan ketinggalan dan tidak akan maju. Oleh sebab itu, minat membaca mesti disemai dalam diri.
            Dengan membaca kita dapat mengetahui pelbagai maklumat dan dapat menambah ilmu pengetahuan.  Segala maklumat tentang politik, ekonomi dan alam sekitar dapat kita peroleh dengan membaca. Kadangkala, sesuatu yang kita baca itu dapat menimbulkan kesedaran dalam diri kita. Contohnya isu alam sekitar yang kini sering dibincangkan kerana salah satu daripada kesan pemusnahannya ialah mengakibatkan peningkatan suhu dunia. Melalui pembacaan, kita dapat mengetahui cara untuk mengatasi masalah tersebut lantas dapat memainkan peranan kita dengan baik.
            Membaca juga dapat meningkatkan penguasaan bahasa. Ketika membaca, kita akan menemui banyak perkataan baru. Untuk mengetahui maknanya, kita akan merujuk kamus atau bertanya guru. Apabila penguasaaan bahasa bertambah baik, pertuturan dan cara menulis  karangan juga akan semakin baik.
            Selain itu, membaca juga dapat menghindarkan diri kita daripada terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat. Biasanya orang yang gemar membaca pandai menggunakan masanya yang terluang dengan baik.
Hadirin sekalian,
            Berdasarkan fakta-fakta yang telah saya sebutkan, jelaslah bahawa amalan membaca merupakan suatu amalan yang mulia dan harus dipupuk sejak kecil lagi. Oleh itu, marilah kita sama-sama menjadikan membaca suatu budaya hidup. Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment