Friday 25 November 2011

Karangan Jenis Syarahan






Soalan :
Kamu telah mewakili sekolah dalam suatu pertandingan syarahan. Tajuk syarahan ialah  ‘Kepentingan Membaca di kalangan Pelajar’. Tuliskan syarahan kamu selengkapnya.

                Yang Mulia Tuan pengerusi Majlis, Tuan Guru Besar, guru-guru dan rakan sekalian. Pada hari yang berbahagia ini, saya ingin menyampaikan sebuah syarahan  yang bertajuk  ‘Kepentingan Membaca di kalangan Pelajar’.
Hadirin yang dimuliakan,
            Membaca merupakan jambatan ilmu. Berbagai-bagai maklumat dapat diperoleh dengan membaca.  Orang yang malas membaca akan ketinggalan dan tidak akan maju. Oleh sebab itu, minat membaca mesti disemai dalam diri.
            Dengan membaca kita dapat mengetahui pelbagai maklumat dan dapat menambah ilmu pengetahuan.  Segala maklumat tentang politik, ekonomi dan alam sekitar dapat kita peroleh dengan membaca. Kadangkala, sesuatu yang kita baca itu dapat menimbulkan kesedaran dalam diri kita. Contohnya isu alam sekitar yang kini sering dibincangkan kerana salah satu daripada kesan pemusnahannya ialah mengakibatkan peningkatan suhu dunia. Melalui pembacaan, kita dapat mengetahui cara untuk mengatasi masalah tersebut lantas dapat memainkan peranan kita dengan baik.
            Membaca juga dapat meningkatkan penguasaan bahasa. Ketika membaca, kita akan menemui banyak perkataan baru. Untuk mengetahui maknanya, kita akan merujuk kamus atau bertanya guru. Apabila penguasaaan bahasa bertambah baik, pertuturan dan cara menulis  karangan juga akan semakin baik.
            Selain itu, membaca juga dapat menghindarkan diri kita daripada terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat. Biasanya orang yang gemar membaca pandai menggunakan masanya yang terluang dengan baik.
Hadirin sekalian,
            Berdasarkan fakta-fakta yang telah saya sebutkan, jelaslah bahawa amalan membaca merupakan suatu amalan yang mulia dan harus dipupuk sejak kecil lagi. Oleh itu, marilah kita sama-sama menjadikan membaca suatu budaya hidup. Sekian. Terima kasih.

Thursday 24 November 2011

Contoh Karangan Catatan




Soalan   :
Baru-baru ini, pihak sekolah kamu telah mengadakan Perkhemahan Unit Beruniform selama dua hari. Tulis catatan tentang perkhemahan itu.

Perkhemahan Unit Beruniform Pengakap Sekolah Kebangsaan Seri Kundang
Sabtu, 5 November 2011
7:30 pagi :  Seramai 40 orang ahli pengakap berserta lima orang guru berkumpul di  Dataran Cemerlang.Setelah itu, mereka menaiki bas ke destinasi perkhemahan.
9:30 pagi  :Peserta tiba di Taman Cahaya Seri Alam, Shah Alam.  Seterusnya mereka ke  tapak perkhemahan untuk membina khemah dan memasak makanan.
2.00 petang: Sesi kembara bermula. Peserta terpaksa merentasi sungai dan mendaki bukit selain meredah hutan yang dipenuhi onak dan pacat.  Sesi ini berakhir pada pukul 6.00 petang.
9.00 malam: Aktiviti malam kebudayaan berlangsung.  Antara aktivitinya berupa sketsa, nyanyian, lawak jenaka dan tarian.  Persembahan  yang dihakimi guru-guru pengiring ini berakhir pada pukul 11.00 malam.

Ahad, 6 November 2011
8.00 pagi  :  Para peserta mengikuti latihan kawat kaki serta pertandingan ikatan dan simpulan.  Acara berikutnya ialah mencari harta karun di sekitar tapak perkhemahan.
2.00 petang:Upacara perasmian penutup majlis dilakukan oleh guru besar.  Selanjutnya, diadakan pula sesi penyampaian hadiah diikuti majlis jamuan. Para peserta pulang pada  pukul 4.30 petang dalam suasana yang ceria meskipun keletihan.
Nota :
kembara       -  menjelajah / meredah hutan
merentasi     -  melintasi
meredah       -  mengharungi
onak              -  akar menjalar yang berduri
pacat            -  haiwan kecil penghisap darah
sketsa          -  lakonan pendek

Karangan Jenis Peribahasa ' Sudah Jatuh Ditimpa Tangga'.


          Mata ku merenung titis-titis hujan yang semakin lebat di luar tingkap. Suasana itu mengingatkan aku tentang peristiwa yang menimpaku setahun lalu. Ianya dapat diibaratkan seperti  ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.
          Aku sedang menggulangkaji pelajaran apabila telefon berdering. Aku segera mencapai ganggangnya.
          “ Boleh bercakap dengan Puan Salmiah?” terdengar suara dihujung talian.
            “ Sebentar, ya,” balasku lantas berteriak memanggil ibu.
            Selepas menyerahkan ganggang telefon kepada ibu, aku menggulangkaji pelajaran semula. Tiba-tiba, aku terdengar ibu berteriak diikuti esak tangisnya. Hatiku cemas. Pantas aku berlari mendapatkan ibu.
          “ Mengapa, bu? ” tanyaku sebaik-baik sahaja ibu meletakkan ganggang telefon.
            “ Ayah kau kemalangan. Dia tenat di hospital. Lekas bersiap, kita ke sana,” jawab ibu dalam sebak.
            Sepuluh minit kemudian, kami sudah berada di dalam kereta yang meluncur laju. Kulihat mata ibu masih berair. Walaupun sedih, aku mencuba sedaya upaya menahan tangisku.
          “Ibu, bersabarlah. Ini semua ujian Tuhan”, pujukku apabila melihat air matanya semakin deras mengalir.
          Tiba-tiba,  kulihat butiran-butiran  batu jatuh menimpa jalan raya melalui lereng bukit di bahu jalan. Semakin lama, semakin banyak. Hatiku menjadi cemas. Ibu segera membrek. Tiba-tiba, aku merasakan bumbung kereta kami seperti dihempap benda keras dan berat. Selepas itu, pandanganku menjadi gelap.

          Apabila aku sedar semula, barulah aku tahu bahawa aku dan ibu telah terperangkap di dalam timbunan tanah runtuh. Pembinaan rumah di atas lereng jalan yang kami lalui, ditambah dengan hujan lebat menjadi punca kejadian tersebut. Aku sempat dikeluarkan oleh petugas keselamatan. Bagaimanapun, Tuhan lebih menyayangi ibu. Aku telah dihantar ke hospital dan dikejutkan lagi dengan berita kematian ayah sehari selepas ibu pergi.
          Kini aku terus tabah menghadapi dugaan. Aku akan terus mendoakan kesejahteraan roh ayah dan ibu. Semoga mereka dicucuri rahmat.

Nota :  Sudah Jatuh Ditimpa tangga bermaksud ditimpa bencana ketika diri dalam kesusahan

Contoh Karangan Jenis Fakta - Kebaikan Bersukan


          Sukan merupakan salah satu kegiatan riadah yang diminati ramai. Sukan juga dapat memberikan pelbagai faedah kepada rohani dan jasmani kita.

          Pada masa yang sama, bersukan dapat meningkatkan tahap kesihatan seseorang. Apabila bersukan,  darah dapat berjalan dengan lancar ke seluruh badan. Tubuh badan kita akan menjadi sihat dan segar. Tubuh yang sihat dapat menghindarkan diri kita daripada dihinggapi penyakit.

          Selain itu, dengan bersukan kita juga dapat mengisi masa lapang dan menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan yang sia-sia. Secara tidak langsung, bersukan dapat mengelakkan diri seseorang itu daripada terjebak ke dalam gejala negatif.
          Melalui sukan juga, sesorang itu dapat mengharumkan nama negara ke seluruh dunia. Apabila seseorang itu memenangi pertandingan pada peringkat antarabangsa, nama negara akan turut harum kerana berjaya melahirkan seorang ahli sukan yang handal.
          Oleh sebab bersukan banyak memberi kebaikan, semua golongan patut bersukan demi kesejahteraan diri, masyarakat dean negara.

sumber : PEP - Strategi Sukses B. Malaysia


Wednesday 23 November 2011

Contoh karangan murid tahun 4


Soalan :
Setiap orang mempunyai adik yang paling disayangi.
Ceritakan tentang adik kamu.
Jawapan :
          Saya amat bersyukur kerana dikurniakan seorang adik yang sangat comel. Dialah tempat saya bermanja.
          Adik saya adalah seorang lelaki . Nama adik saya Muhamad Haiqal Azri bin Muhammad Nasri. Dia berumur tujuh tahun. Dia bersekolah di Sekolah Kebangsaan Saujana Utama.
          Adik saya seorang yang sangat comel. Dia berambut pendek dan kemas. Setiap petang adik bermain bola di padang. Adik seorang yang rajin belajar.
          Makanan kegemaran adik ialah sup ikan manakala minuman kegemaran dia laici ais. Adik suka menonton cerita kartun seperti Hagema, Doremon dan sebagainya.
          Pada hujung minggu saya akan bermain basikal bersama adik untuk mencergaskan badan. Pada waktu malam adik mengjak saya menonton DVD. Adik saya gemar menolong saya membuat kerja rumah.
          Saya berasa bangga kerana mempunyai adik seperti Haiqal. Saya sangat sayang kepada adik saya.

By Ain Suraya